BERITA NEGERI

Fun Walk Hari Malaysia erat perpaduan penduduk Forest Bayu

RASAH: Lebih 100 penduduk Forest Bayu menyertai program Fun Walk Hari Malaysia anjuran Persatuan Penduduk Forest Bayu yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk, malah menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap tanah air.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, penyertaan penduduk daripada pelbagai latar belakang membuktikan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Program ini bukan sahaja dapat mengeratkan keakraban para penduduk taman ini, malah ia turut memupuk semangat patriotik untuk mencintai tanah air kita.

“Penyertaan daripada penduduk pelbagai latar belakang menandakan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam masyarakat majmuk kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, perarakan mengelilingi taman, nyanyian lagu-lagu patriotik dan cabutan bertuah.

Menurut beliau, penganjuran program sebegini wajar diteruskan kerana mampu mewujudkan hubungan yang lebih erat dalam kalangan komuniti setempat selain menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.

Cha turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Forest Bayu, Muhammad Fadley serta barisan jawatankuasa persatuan atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.

Dalam program sama, beliau turut menyerahkan cek peruntukan Ahli Parlimen Rasah berjumlah RM1,000 sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran aktiviti kemasyarakatan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button