Anwar umum RM1 juta perkasa persatuan penjaja dan peniaga kecil
KAJANG: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Beliau berkata, peruntukan itu bertujuan memperkukuh peranan persatuan dalam menjaga kebajikan serta meningkatkan keupayaan komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menurutnya, golongan berkenaan merupakan antara komponen penting ekonomi negara kerana bukan sahaja menyediakan barangan dan perkhidmatan keperluan harian, malah menjadi sumber pendapatan kepada ribuan keluarga serta menggerakkan ekonomi setempat.
“Sebagai sokongan kepada komuniti ini, saya turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada KUSKOP untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil.
“Moga ia dapat memperkukuh peranan persatuan dalam menjaga kebajikan serta membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil terus berkembang,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran MPKj, Stadium Kajang, di sini, pada 1 November lalu.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Anwar berkata Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada usaha memperluas akses pembiayaan, mempercepat proses pendigitalan dan meningkatkan kemahiran dalam kalangan penjaja serta peniaga kecil supaya mereka mampu berkembang dengan lebih berdaya saing.
Katanya, usaha memperkasa golongan itu selaras dengan tekad Waad Nasional untuk memastikan kemajuan negara dapat dinikmati sehingga ke peringkat akar umbi.
Beliau berharap bantuan berkenaan dapat dimanfaatkan secara terancang bagi memastikan lebih ramai penjaja dan peniaga kecil memperoleh peluang mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga.




