BERITA NASIONAL

Anwar: Usahawan perlu kuasai teknologi, kekal berpegang pada nilai dan akhlak

KOTA BHARU: Kerajaan MADANI akan terus memperkasa penjaja dan peniaga kecil menerusi pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan keupayaan perniagaan serta menambah pendapatan keluarga, termasuk melalui Skim Usahawan Bangkit.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membantu golongan usahawan perlu bergerak seiring dengan penguasaan ilmu dan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan negara mampu bersaing dalam landskap ekonomi global.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi dan kepintaran intelektual tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan nilai, jati diri serta akhlak.

“Dalam ucapan, saya tekankan keperluan negara menguasai ilmu dan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), agar kita tidak ketinggalan dalam persaingan dunia.

“Namun, tatkala menggapai di langit, kita mesti tetap mengakar di bumi dengan berpaksikan nilai, jati diri dan akhlak,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit di Kota Bharu, Kelantan, yang turut menjadi platform pertemuan beliau dengan usahawan dan masyarakat setempat.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit di Kota Bharu, Kelantan. 31 Oktober 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Menurut Anwar, ilmu dan kepintaran perlu disertai amanah serta budi pekerti kerana kelemahan nilai dan integriti boleh membawa kesan besar kepada negara, walaupun seseorang memiliki kepakaran serta kecerdasan.

Beliau mengambil contoh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA yang menurutnya menunjukkan bagaimana kegagalan nilai serta tatakelola boleh menyebabkan kekayaan negara diselewengkan sehingga rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

“Ilmu dan kepintaran mesti disertai amanah serta budi pekerti. Kita telah menyaksikan skandal besar seperti 1MDB, Tabung Haji dan FELDA yang didalangi mereka yang berilmu dan pintar, namun rendah akal budi serta nilai diri,” ujar Anwar.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata permohonan bagi program Sejati MADANI Usahawan B40 di Kelantan mencecah 4,000, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap inisiatif bantuan keusahawanan berkenaan.

Sehubungan itu, kerajaan akan meningkatkan peruntukan geran program berkenaan kepada RM200 juta bagi 2027 supaya lebih ramai peniaga dapat menikmati manfaatnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan memperluas usaha membantu golongan usahawan, khususnya wanita, agar mereka mempunyai peluang lebih besar untuk mengembangkan perniagaan.

Selain pembangunan ekonomi, Anwar turut menyeru ibu bapa dan guru supaya memainkan peranan berterusan dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak melalui pendidikan yang berteraskan ilmu, adab serta kasih sayang.

Katanya, pembentukan generasi berkualiti perlu bermula di rumah dan diperkukuh di sekolah demi menjamin masa depan bangsa serta negara.

Related Articles

Back to top button