Pencapaian SDG Malaysia meningkat kepada 58 peratus menjelang 2030: ANWAR
PUTRAJAYA: Unjuran pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia meningkat kepada 58 peratus menjelang 2030, berbanding 49 peratus tahun lalu, sekali gus mengatasi unjuran global sebanyak 35 peratus.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu mencerminkan kemajuan usaha negara dalam melaksanakan agenda SDG, namun masih banyak aspek yang perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2026, yang meneliti kemajuan pelaksanaan SDG di Malaysia.
“Alhamdulillah, unjuran pencapaian negara meningkat kepada 58 peratus menjelang 2030, berbanding 49 peratus pada tahun lalu, sekali gus mengatasi unjuran global sebanyak 35 peratus.
“Perkembangan ini mencerminkan kemajuan usaha negara dalam menjayakan agenda SDG, namun masih banyak yang perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, mesyuarat itu turut meneliti kemajuan 10 Fokus Utama SDG yang menyentuh secara langsung kesejahteraan rakyat.
Antara perkara yang diberi perhatian termasuk isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pemerkasaan orang kurang upaya (OKU), kelestarian alam sekitar, ancaman penipuan serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan SDG tidak seharusnya dilihat semata-mata berdasarkan pencapaian angka dan sasaran, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam kehidupan rakyat.
“Bagi saya, SDG bukan sekadar soal angka dan sasaran, tetapi komitmen untuk memastikan pembangunan negara benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, tanpa ada sesiapa yang tercicir atau terpinggir,” jelas Anwar lagi.




