RM5 bilion pinjaman projek terdahulu disalur semula untuk bekalan air Perak Utara
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM5 bilion daripada pinjaman yang sebelum ini diperuntukkan bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) akan disalurkan semula untuk membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS).
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dimuktamadkan menerusi rundingan Kerajaan MADANI dengan Export-Import Bank of China (CEXIM), sekali gus membolehkan dana berkenaan dimanfaatkan untuk pembangunan prasarana asas rakyat.
Beliau berkata, susulan penamatan kedua-dua projek berkenaan pada 2018, negara masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman berjumlah RM8 bilion walaupun projek tersebut tidak dilaksanakan.
“Susulan penamatan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) pada 2018, negara masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman RM8 bilion walaupun kedua-dua projek tidak dilaksanakan.
“Menerusi rundingan yang dimuktamadkan Kerajaan MADANI, RM5 bilion daripada pinjaman tersebut dapat disalurkan semula kepada NPWSS,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) dengan CEXIM bagi penyaluran semula pinjaman berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan NPWSS dijangka memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang bagi memenuhi keperluan domestik, pertanian dan perindustrian di Perak serta Pulau Pinang.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kemajuan pembangunan negara perlu turut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam memastikan keperluan asas seperti bekalan air terus terjamin.
“NPWSS dijangka memperkukuh bekalan air jangka panjang bagi kegunaan rakyat, pertanian dan perindustrian di Perak dan Pulau Pinang.
“Kemajuan negara harus diterjemahkan kepada keperluan asas yang terjamin dan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” jelas Anwar.



