70 pelajar bermalam di Muzium Rembau

REMBAU: Seramai 70 pelajar menyertai Program Bermalam di Muzium Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari di Muzium Rembau, Kampung Astana Raja, di sini pada 15 dan 16 September lalu.
Program yang dilaksanakan serentak di seluruh negara itu turut disertai Lembaga Muzium Negeri Sembilan sebagai usaha mendekatkan generasi muda dengan institusi muzium serta khazanah sejarah dan budaya.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program, antaranya Slot Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Horizon Ilmu, Program Kurator Muda menerusi KIT STEM MR. DIY, Senaman Pagi serta aktiviti arkeologi.
Menerusi program berkenaan, para peserta berpeluang mengenali fungsi muzium dengan lebih dekat, termasuk peranannya bukan sekadar sebagai tempat menyimpan artifak sejarah, tetapi turut menjadi medium memelihara dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
Majlis penutup program disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, YB Tuan Suhaimi Aini.
Turut hadir ialah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip; Kurator Antikuiti, Rosrita Mohamad Nordin; Kurator Pengurusan, Noorul Farahashikin serta pegawai dan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Program berkenaan memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta, selain membuka ruang untuk mereka memahami kepentingan muzium dalam memelihara warisan sejarah untuk generasi akan datang.




