Jerebu membimbangkan, Anwar mahu kesihatan murid diutamakan
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperhalusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah dan persediaan awal bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya petang semalam, susulan situasi jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya kanak-kanak sekolah.
“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.
“NADMA, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan ini bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” kata Anwar.
Anwar berkata, kerajaan turut memastikan keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan dipenuhi bagi membantu mengurangkan jerebu yang melanda negara.
Menurut beliau, operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai.

Anwar menegaskan bahawa kesiapsiagaan agensi barisan hadapan perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan tindakan menghadapi bencana dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“NADMA perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat, agar langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” ujar beliau.
Beliau berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan dan masyarakat amat penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti menghadapi pelbagai kemungkinan bencana.
“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” kata Anwar lagi.
Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim



