YUNESWARAN: Raikan perbezaan, eratkan perpaduan

SEREMBAN: Kepelbagaian budaya dan perayaan di Malaysia perlu dijadikan platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat menerusi sikap saling mengenali, menghormati perbezaan dan berkongsi kegembiraan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, keistimewaan Malaysia terletak pada kemampuan rakyat berbilang kaum untuk meraikan kepelbagaian bersama-sama dalam suasana harmoni.
“Malaysia istimewa kerana kita berbeza, namun tetap boleh meraikan bersama.
“Apabila kita saling mengenali budaya, menghormati perbezaan dan berkongsi kegembiraan, hubungan antara masyarakat akan menjadi semakin erat,” kata beliau.
Yuneswaran berkata demikian ketika menghadiri pelancaran Kempen “A Brighter Deepavali” di MYDIN Seremban 2, yang menjadi program rasmi pertamanya sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Yuneswaran turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan bagi menyantuni golongan memerlukan, selari dengan semangat perayaan yang menekankan nilai kasih sayang dan keprihatinan.
“Orang ramai juga berpeluang berkongsi rezeki melalui bakul sumbangan yang disediakan di cawangan MYDIN terpilih.
“Inilah semangat sebenar perayaan, berkongsi cahaya, kegembiraan dan kasih sayang dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut berkongsi keterujaan melihat kolam berputar yang dipamerkan pada program berkenaan, yang difahamkan merupakan pertama seumpamanya di Malaysia.
Menurutnya, kolam ialah seni hiasan lantai tradisional masyarakat India yang melambangkan kemakmuran, kesejahteraan dan sambutan mesra kepada tetamu.
Yuneswaran berharap sambutan Deepavali tahun ini membawa kebahagiaan dan keharmonian kepada semua, selain menjadi ruang untuk terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Terima kasih kepada MYDIN Malaysia dan semua pihak yang menjayakan kempen ini.
“Semoga Deepavali membawa kebahagiaan, kemakmuran dan keharmonian kepada semua,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada masyarakat Hindu yang meraikannya.




