BERITA NASIONAL

ADUN Nilai gesa Kerajaan Negeri kekalkan pendekatan bantu pemilik premis di Taman Bunga Raya

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan digesa mengekalkan pendekatan yang telah dipersetujui sebelum ini bagi menangani isu struktur tambahan pada premis lama di Taman Bunga Raya, Mantin, tanpa membebankan pemilik dengan kos mendapatkan pelan arkitek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar, berkata beliau telah bertemu lebih 30 pemilik kedai di kawasan berkenaan susulan notis yang dikeluarkan berkaitan kerja pembinaan atau pengubahsuaian tambahan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, dalam beberapa kes, pemilik semasa membeli premis berkenaan ketika struktur tambahan tersebut sememangnya telah sedia ada dan dibina oleh pemilik terdahulu, malah sebahagiannya telah wujud sejak beberapa puluh tahun lalu.

“Saya memahami keperluan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan semua bangunan mematuhi peraturan.

“Namun, persoalannya ialah bagaimana kita menangani bangunan tambahan yang telah wujud selama puluhan tahun, khususnya apabila syarat dan peraturan bangunan pada masa dahulu berbeza dengan syarat yang ditetapkan pada hari ini,” katanya.

Arul Kumar berkata, isu berkenaan pernah dibincangkan ketika beliau masih memegang portfolio Pembangunan Kerajaan Tempatan dalam Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri pada 21 Januari 2026.

Katanya, pada ketika itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya pemilik bangunan tambahan yang telah lama sedia ada tidak diwajibkan melantik arkitek bagi mendapatkan kelulusan pelan bangunan, yang boleh menelan kos sehingga puluhan ribu ringgit.

“Sebaliknya, satu mekanisme alternatif boleh dikaji, termasuk mengambil kira keluasan tambahan bangunan dalam pengiraan cukai taksiran.

“Melalui pendekatan ini, pemilik masih boleh dikenakan tanggungjawab kewangan yang bersesuaian tanpa dibebankan dengan kos mendapatkan pelan arkitek,” jelas Arul Kumar.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan lebih munasabah memandangkan kos yang perlu ditanggung pemilik adalah jauh lebih rendah dan hanya melibatkan bayaran secara berkala, berbanding kos mendapatkan pelan bangunan yang boleh mencecah RM10,000 atau lebih.

“Sudah tentu ia lebih tidak membebankan kerana kos kewangannya sangat minimum dan hanya sekali setahun, berbanding beban mendapatkan kelulusan pelan bangunan pada masa ini.

“Ini lebih munasabah kerana kebanyakan peniaga kecil tidak mampu menanggung kos RM10,000 atau lebih hanya untuk mendapatkan pelan bagi struktur tambahan yang telah wujud selama puluhan tahun,” kata beliau.

Arul Kumar menjelaskan bahawa pengecualian tersebut hanya dicadangkan bagi bangunan kediaman dan komersial yang telah mempunyai Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (CF), selain struktur tambahan atau pengubahsuaian yang dibuat dalam kawasan lot pemilik sendiri.

“Jika struktur tambahan itu berada di atas tanah kerajaan atau terdapat aduan daripada jiran, pengecualian ini tidak boleh digunakan.

Pada masa yang sama, aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang tetap perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan terdapat pemilik premis di Taman Bunga Raya yang kini berdepan kos melebihi RM10,000 untuk menyelesaikan perkara berkaitan pelan bangunan.

“Saya memohon Kerajaan Negeri yang baharu supaya mengekalkan keputusan dan pendekatan yang telah dipersetujui pada 21 Januari 2026 oleh kerajaan sebelum ini.

“Bagi bangunan tambahan yang telah lama wujud, kita perlu mencari penyelesaian yang praktikal, adil dan tidak membebankan peniaga, tanpa mengabaikan keperluan keselamatan serta pematuhan undang-undang,” ujar Arul Kumar.

Beliau pada masa sama berharap PBT mengambil maklum keputusan Kerajaan Negeri tersebut dan meneliti isu berkenaan secara menyeluruh sebelum mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang terlibat.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil kira keadaan sebenar di lapangan dan melihat setiap kes secara menyeluruh.

“Kita mahu memastikan peraturan dipatuhi, tetapi pada masa yang sama penyelesaian yang dibuat tidak menekan peniaga kecil yang mewarisi struktur bangunan lama,” kata Arul Kumar.

Related Articles

Back to top button