Cha kongsi pengalaman makan sawi mentah terus dari kebun

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, berkongsi pengalaman uniknya menikmati sayur sawi secara mentah dan terus dari kebun, dalam satu pendekatan pertanian yang mengutamakan kelestarian alam.
Cha berkata, pengalaman tersebut merupakan kali pertama beliau makan sawi yang belum dimasak, malah pada awalnya beliau kurang yakin untuk mencubanya kerana sayur berkenaan tidak dibasuh terlebih dahulu.
“Pada mulanya, saya kurang yakin kerana tidak pernah makan sawi yang mentah, tambahan pula tidak dibasuh langsung.
“Namun, apabila Dato’ Yap, tuan punya kebun, dan Prof. Dr. Siti Zaharah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) turut makan sawi mentah bersama, saya yakin ia selamat untuk dimakan secara mentah,” katanya.
Menurut beliau, keyakinannya turut didorong oleh kaedah penanaman yang diamalkan di kebun berkenaan, yang tidak menggunakan bahan kimia serta mengutamakan penggunaan sumber air semula jadi dan baja organik.
“Sawi ini ditanam di kawasan yang persekitarannya tiada bahan kimia, manakala air hujan dan air bukit digunakan untuk menyiram tanaman.
“Baja organik pula digunakan dan bukannya baja kimia,” katanya.
Cha berkata, pendekatan pertanian yang diamalkan di kebun tersebut wajar diberi perhatian kerana menitikberatkan kelestarian alam sekitar.
“Pada saya, kebun sayur ini mengamalkan pendekatan yang lestari alam dan sesuatu yang wajar diberikan galakan.
“Pendekatan seperti ini juga boleh dijadikan contoh untuk diamalkan oleh pihak lain,” ujar Cha.
Beliau berkata, selepas menikmati sawi mentah tersebut, beliau tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
“Selepas saya makan, tiada masalah kesihatan.
“Pengalaman ini memberi saya perspektif baharu mengenai hasil tanaman yang diusahakan dengan pendekatan pertanian yang lebih lestari,” jelas Cha.




