BERITA NASIONAL

Tambang ECRL berpatutan mampu pacu ekonomi rakyat Pahang

KUANTAN: Tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berpatutan, termasuk diskaun 30 peratus bagi tiket kelas ekonomi sepanjang bulan pertama operasi, berpotensi meningkatkan akses rakyat kepada pengangkutan moden selain merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pahang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Dato’ Ahmad Farhan Fauzi berkata, pelaksanaan tambang berpatutan itu merupakan langkah positif bagi memastikan kemudahan ECRL dapat dinikmati lebih ramai rakyat.

Menurut beliau, kehadiran ECRL bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan perniagaan tempatan, selain membuka peluang pekerjaan di sepanjang jajaran rel berkenaan.

“ECRL bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui perkembangan sektor pelancongan, perdagangan dan perniagaan.

“Kemudahan ini juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti ekonomi di kawasan yang terlibat,” kata Farhan dalam kenyataan media hari ini.

Farhan berkata, KotaSAS dalam Parlimen Indera Mahkota antara kawasan yang berpotensi menerima limpahan pembangunan susulan pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2027 mengenai pembangunan perumahan rakyat berhampiran stesen KotaSAS turut membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Pembangunan perumahan rakyat berhampiran stesen KotaSAS berpotensi merangsang pertumbuhan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“Kesan gandaan ekonomi ini boleh memberi manfaat kepada peniaga kecil, kontraktor, pengusaha perkhidmatan dan golongan belia,” jelas Farhan.

Bagaimanapun, Farhan menegaskan bahawa perancangan pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya manfaat daripada kemudahan pengangkutan, perumahan mampu milik dan peluang ekonomi dapat dinikmati secara meluas oleh rakyat.

Farhan yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, kejayaan ECRL tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan infrastruktur semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesannya terhadap kesejahteraan masyarakat.

“ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, malah merupakan pemangkin pembangunan wilayah yang berupaya membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Pahang.

“Kejayaannya harus diukur melalui peningkatan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat, bukan hanya berdasarkan kemajuan infrastruktur,” ujar beliau.

 

Related Articles

Back to top button