Anwar galak rakyat guna TuJu, bimbang risiko keselamatan data melalui Waze
PUTRAJAYA: Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif kepada Waze bagi mengurangkan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang diteliti ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil. 3/2026 hari ini bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang tertakluk kepada undang-undang Kerajaan Israel.
“Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan data dan identiti rakyat perlu menjadi keutamaan dalam usaha memperluas pendigitalan negara.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat.
“Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” jelas Anwar.
Menurut Perdana Menteri, pengukuhan ekosistem identiti bersepadu serta langkah perlindungan siber yang lebih menyeluruh penting bagi memastikan perkhidmatan awam digital terus memberikan manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, usaha itu perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara dalam menghadapi landskap ancaman siber yang semakin kompleks.
Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim



