BERITA NASIONAL

Peruntukan RM103,000 untuk SMK Seremban 2, dewan kini lebih selesa menjelang SPM

SEREMBAN: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin menunaikan baki fasa kedua peruntukan Ahli Parlimen Rasah berjumlah RM37,400 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2, sekali gus melengkapkan keseluruhan komitmen sebanyak RM103,000 yang dijanjikan kepada sekolah itu pada awal tahun ini.

Cek peruntukan tersebut diserahkan kepada Pengetua SMK Seremban 2, Puan Normanida, sebagai fasa terakhir selepas RM66,000 disalurkan beberapa bulan lalu.

Daripada jumlah RM37,400 itu, sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi membekalkan dan memasang enam unit pendingin hawa 3HP jenis ceiling exposed di Dewan Ungku Abdul Aziz, manakala RM7,400 lagi digunakan untuk pembinaan penutup longkang di kawasan sekolah bagi meningkatkan aspek keselamatan pelajar.

Cha berkata, pemasangan kesemua enam unit pendingin hawa itu telah siap sepenuhnya dan memberi suasana yang lebih selesa untuk pelbagai aktiviti sekolah.

“Pemasangan enam unit pendingin hawa baharu ini telah diselesaikan.

“Keadaan di dalam dewan lebih sejuk dan menceriakan warga sekolah untuk program sekolah, peperiksaan dalaman serta peperiksaan SPM yang bakal menjelang.

“Saya percaya dengan adanya pendingin hawa yang baharu ini, ia pastinya membolehkan calon-calon SPM SMK Seremban 2 menduduki peperiksaan dalam keadaan yang lebih selesa, sekali gus memberikan fokus yang lebih,” kata Cha.

Beliau turut berharap kemudahan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah, khususnya calon-calon SPM yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Related Articles

Back to top button