BERITA NASIONAL

Bursa Malaysia perlu perkukuh keyakinan pelabur, buka peluang ekonomi: Anwar

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia perlu terus memperkukuh keyakinan pelabur menerusi amalan tatakelola yang baik, ketelusan dan keadilan bagi memastikan pasaran modal negara kekal berdaya saing serta mampu membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan tempatan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan sebenar Bursa Malaysia tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan angka dan permodalan pasaran semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keyakinan yang berjaya dibina serta peluang ekonomi yang diwujudkan.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia yang menjadi antara institusi penting dalam pembangunan ekonomi dan pasaran modal negara.

“Daripada 264 syarikat tersenarai bernilai RM12.7 bilion pada 1976, Bursa kini mempunyai lebih 1,100 syarikat dengan permodalan pasaran melebihi RM2 trilion.

“Namun, di sebalik pencapaian angka ini, ukuran sebenar kejayaan Bursa Malaysia terletak pada keyakinan yang dibina serta peluang ekonomi yang diwujudkan,” kata Anwar.

Menurut Anwar, tatakelola, ketelusan dan keadilan perlu terus diperkasakan supaya pasaran modal bukan sahaja mendapat kepercayaan pelabur, malah menjadi platform yang menyediakan ruang lebih luas kepada perusahaan tempatan untuk berkembang.

Dalam pada itu, beliau berkata kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi landasan penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi serta peralihan tenaga global.

Beliau berharap Bursa Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam tempoh lima dekad akan datang sebagai institusi yang diyakini dan pemangkin kepada kemakmuran negara.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim majlis makan malam sempena Ulang Tahun ke-50 Bursa Malaysia di Kuala Lumpur. 29 Oktober 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button