BERITA NASIONAL

Ekonomi digital mesti adil, lindungi PMKS daripada komisen tinggi: ANWAR

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan kepentingan memastikan pertumbuhan ekonomi digital negara berlandaskan persaingan yang adil, termasuk menangani amalan platform digital yang boleh membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh beliau.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut meneliti kemajuan ekonomi digital negara serta langkah memperkukuh daya saing Malaysia dalam mendepani perkembangan teknologi.

Antara perkara yang dibincangkan ialah pengukuhan infrastruktur digital, penjimatan perbelanjaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Kerajaan serta dapatan kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai persaingan dalam ekosistem ekonomi digital.

“Saya menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi digital mesti berlandaskan persaingan yang adil, termasuk menangani amalan platform yang boleh membebankan perniagaan tempatan, khususnya PMKS, melalui komisen tinggi, terma kontrak yang menyekat dan kawalan terhadap data pengguna,” kata Anwar menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar berkata, pembangunan ekonomi digital perlu bukan sahaja menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan, malah memastikan perniagaan tempatan turut menikmati peluang yang adil dalam ekosistem berkenaan.

“Kita mahu ekonomi digital yang bukan sahaja menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan, tetapi turut membuka peluang yang adil kepada perniagaan tempatan, memudahkan urusan rakyat serta membawa manfaat yang dapat dirasai bersama,” ujar beliau.

Usaha itu mencerminkan keperluan membangunkan ekosistem digital yang lebih seimbang, dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan perniagaan tempatan, khususnya PMKS, dalam menghadapi perubahan teknologi serta persaingan pasaran.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR (MED4IRN) di Perdana Putra. 21 Oktober 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button