BERITA NASIONAL

Pesakit buah pinggang di Segamat disantuni Yuneswaran, keluarga turut terima bantuan

SEGAMAT: Keprihatinan terhadap nasib keluarga yang berdepan ujian kesihatan mendorong Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, mengusahakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban sebuah keluarga di Kampung Batu Badak, di sini.

Menerusi kunjungan ke rumah keluarga Azmi M. Nor, beliau dimaklumkan mengenai keadaan anak lelaki keluarga itu yang terlibat dalam kemalangan dan memerlukan penjagaan rapi, selain isterinya yang turut berdepan masalah kesihatan sehingga memerlukan rawatan dialisis.

Yuneswaran berkata, situasi yang dihadapi keluarga berkenaan bukan mudah kerana mereka perlu memberikan perhatian dan penjagaan kepada dua insan tersayang yang berdepan masalah kesihatan pada masa sama.

“Kadang-kadang kita takkan tahu betapa beratnya dugaan sesebuah keluarga selagi kita tidak datang sendiri dan mendengar cerita mereka.

“Saya dapat bayangkan betapa besarnya tanggungjawab yang sedang dipikul keluarga ini,” kata Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Sehubungan itu, beliau mengusahakan bantuan berupa katil hospital dan tongkat empat kaki untuk kegunaan anak keluarga berkenaan, selain bakul makanan bagi tempoh tiga hingga enam bulan.

Beliau turut mengusahakan bantuan kewangan bagi menampung prosedur pembentukan salur darah arteriovenous fistula (AV fistula) untuk isterinya sebagai persediaan bagi rawatan dialisis.

Menurut Yuneswaran, meskipun bantuan yang disalurkan tidak dapat menyelesaikan keseluruhan kesulitan keluarga itu, usaha berkenaan diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

“Mungkin bantuan ini tidak mampu menyelesaikan semua kesulitan mereka, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung.

“Bagi saya, ziarah sebegini bukan sekadar datang membawa bantuan, malah kehadiran kita untuk mendengar dan memberikan semangat juga cukup bermakna,” ujar beliau.

Beliau turut berharap anak dan isteri Encik Azmi diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan rawatan serta menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik.

Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada seorang individu dikenali sebagai Anuar yang prihatin berkongsi maklumat mengenai keluarga berkenaan, sekali gus membolehkan pihaknya turun padang meninjau sendiri keadaan mereka.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus berusaha membantu golongan yang memerlukan di Segamat selagi mempunyai kemampuan, sebagai sebahagian daripada usaha menyemai nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Related Articles

Back to top button