BERITA NASIONALKESIHATAN

902 Klinik Kesihatan diperkasa saringan AI penyakit paru-paru menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 902 Klinik Kesihatan (KK) di seluruh negara akan diperkasakan dengan saringan penyakit paru-paru berbantukan kecerdasan buatan (AI) menjelang akhir tahun ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesihatan pernafasan rakyat.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah berkenaan merupakan antara inisiatif Kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru 2025-2030 di peringkat domestik.

Beliau berkata, usaha itu turut disokong pangkalan data NALURY selain penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khususnya bagi melindungi generasi muda daripada risiko berkaitan produk merokok.

“Penyakit pernafasan kini menyumbang kepada satu daripada lima kematian di peringkat global.

“Menyedari realiti ini, Malaysia terus mengambil peranan proaktif dengan memperjuangkan resolusi kesihatan paru-paru bersepadu di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-78, serta mengangkatnya sebagai agenda utama serantau sewaktu Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 bagi NIHR Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE) yang menghimpunkan lebih 100 delegasi antarabangsa di ibu negara.

Menurut Dr Dzulkefly, segala usaha dan inovasi dalam bidang kesihatan paru-paru perlu disokong data serta pembuktian saintifik yang kukuh bagi memastikan dasar dan intervensi kesihatan yang dilaksanakan benar-benar berkesan.

Sehubungan itu, beliau memuji sumbangan sedekad RESPIRE dalam memacu penyelidikan kesihatan awam, selain menyeru komuniti penyelidik supaya terus bekerjasama rapat dengan penggubal dasar.

“Penemuan saintifik perlu diterjemahkan kepada amalan klinikal dan intervensi kesihatan awam yang berkesan,” katanya.

Dr Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaya, University of Edinburgh, United Kingdom serta seluruh warga RESPIRE atas dedikasi berterusan dalam mendepani cabaran kesihatan pernafasan global.

“Malaysia kekal komited terhadap dasar kesihatan yang berpandangan jauh, dipacu bukti dan berpaksikan penyelesaian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button