Universiti Malaya tembusi kelompok 200 terbaik dunia, Anwar ucap tahniah

PUTRAJAYA: Universiti Malaya (UM) mencipta sejarah sebagai universiti pertama Malaysia yang menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027, dengan menduduki tempat ke-194.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan bersejarah yang mencerminkan kecemerlangan UM dalam bidang pengajaran dan penyelidikan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut merakamkan tahniah kepada UM atas pencapaian berkenaan yang disifatkan mampu menyuntik keyakinan terhadap keupayaan institusi pendidikan tinggi negara untuk bersaing di peringkat global.
“Pencapaian ini mencerminkan kecemerlangan Universiti Malaya dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, di samping menyuntik keyakinan bahawa institusi pendidikan tinggi kita mampu bersaing dengan universiti terkemuka dunia,” katanya.
Anwar berkata, kecemerlangan berkenaan perlu terus diperkukuh menerusi budaya ilmu yang subur, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang mampu menjawab keperluan masyarakat dan negara.
“Justeru, kecemerlangan ini mesti terus diperkukuh dengan budaya ilmu yang subur, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang menjawab keperluan masyarakat dan negara,” ujar beliau.
Beliau berkata universiti juga perlu memainkan peranan dalam melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran kritis, nilai dan akhlak yang kukuh serta keberanian meneroka gagasan baharu.
“Universiti harus melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan kejayaan UM sebagai pemangkin kepada universiti berkenaan dan seluruh institusi pendidikan tinggi negara untuk terus meningkatkan mutu serta mengangkat martabat ilmu.
“Kejayaan ini harus menjadi pemangkin kepada Universiti Malaya dan seluruh institusi pendidikan tinggi kita untuk terus meningkatkan mutu dan mengangkat martabat ilmu.
“Semoga Universiti Malaya terus melakar kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia,” kata Anwar.
Berdasarkan THE World University Rankings 2027, UM berada di kedudukan ke-194 daripada 2,297 universiti yang dinilai dari 118 negara dan wilayah.
THE turut menyatakan Malaysia buat pertama kali menembusi kelompok 200 terbaik dunia menerusi UM.



