BERITA NASIONAL

Perpaduan negara perlu diperkukuh, isu sensitif ditangani berhemah

KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh perpaduan masyarakat perlu dipertingkatkan menerusi pendekatan berhemah dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum, agama dan pendidikan, khususnya menjelang musim perayaan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, berkata perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian atau memecahbelahkan masyarakat.

“Perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian atau memecahbelahkan masyarakat.

“Kita perlu belajar memahami dan menghormati antara satu sama lain demi menjaga keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu warga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan bagi bertukar pandangan serta membincangkan usaha memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.

Yuneswaran turut menekankan pengaruh media sosial dan platform digital yang semakin besar dalam membentuk persepsi rakyat.

Menurutnya, usaha menangani buli siber, penyebaran kebencian dan kandungan provokatif perlu diperkukuh, termasuk meneliti mekanisme pengesahan identiti digital seperti e-KYC bersama pihak berkaitan.

“Pengaruh media sosial dan platform digital semakin besar dalam membentuk persepsi rakyat.

Sebab itu, usaha menangani buli siber, penyebaran kebencian dan kandungan provokatif perlu diperkukuh,” tegas Yuneswaran.

Dalam pada itu, beliau mahu usaha perpaduan lebih dirasai di peringkat akar umbi menerusi pengaktifan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan penganjuran lebih banyak program kejiranan dan sambutan perayaan bersama.

Katanya, penglibatan masyarakat pelbagai kaum, agama dan peringkat umur perlu terus digalakkan bagi memastikan program perpaduan dapat dilaksanakan secara inklusif.

Yuneswaran turut menegaskan bahawa aspek penglibatan wanita, kepelbagaian dalam kalangan warga kerja serta cabaran jurang ekonomi dan perubahan demografi perlu diberikan perhatian dalam merancang agenda perpaduan jangka panjang.

“Saya menghargai komitmen dan pandangan warga JPNIN Wilayah Persekutuan sepanjang pertemuan ini.

“Harapan saya agar kerjasama ini terus diperkukuh demi memastikan setiap usaha yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” kata Yuneswaran.

Beliau berkata, perpaduan bukan sekadar menerima perbezaan, sebaliknya memerlukan kesediaan setiap rakyat untuk memahami, menghormati dan menjaga keharmonian bersama.

“Bagi saya, perpaduan bukan sekadar tentang menerima perbezaan, tetapi bagaimana kita belajar memahami, menghormati dan menjaga keharmonian antara satu sama lain. Kerana Malaysia ini milik kita bersama,” ujar Yuneswaran.

 

 

 

Related Articles

Back to top button