Pasukan F: Wira dalam senyap, benteng keselamatan negara

KUALA LUMPUR: Pengorbanan anggota Pasukan F yang berjuang secara sulit demi mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman komunis terus dikenang menerusi penganjuran Majlis Pengkisahan Sejarah Pasukan F: “Wira Dalam Senyap, Benteng Keselamatan Negara” di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, PULAPOL, dengan kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.
Yuneswaran berkata, tidak semua wira negara dikenali ramai, namun pengorbanan mereka memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan tanah air terus terpelihara.
“Tidak semua wira negara dikenali ramai. Ada yang berjuang dalam senyap, tanpa seragam dan tanpa mengharapkan nama mereka dikenang,” ujar beliau.

Pasukan F merupakan pasukan risikan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan pada 1 Mac 1971 dengan kekuatan awal seramai 17 anggota.
Pasukan itu menjalankan operasi sulit, mengumpul maklumat serta menjejaki ancaman pengganas komunis bagi membantu memastikan keselamatan negara.
Berpegang pada slogan “Hanya Yang Berani”, Pasukan F memainkan peranan dalam usaha menentang ancaman komunis sehingga termeterainya Perjanjian Damai Hatyai pada 1989. Pasukan berkenaan kemudiannya dibubarkan pada 1 Mei 1995.
Program anjuran Arkib Negara Malaysia, sebuah jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara, dengan kerjasama PDRM itu turut mengetengahkan pengkisahan tiga tokoh yang terlibat secara langsung dalam sejarah Pasukan F.
Pengalaman serta kisah perjuangan mereka akan dirakam dan dipelihara secara kekal oleh Arkib Negara Malaysia sebagai khazanah sejarah untuk tatapan serta rujukan generasi akan datang.

Menurut Yuneswaran, sejarah bukan sekadar merakam peristiwa lampau, sebaliknya menjadi pengajaran penting untuk masyarakat menghargai keamanan dan memahami pengorbanan mereka yang mempertahankan negara.
“Sejarah bukan sekadar mengenang masa lalu. Ia mengajar kita menghargai keamanan, memahami erti pengorbanan dan menyedari bahawa perpaduan yang kita nikmati hari ini perlu terus dipelihara,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Arkib Negara Malaysia, PDRM serta para tokoh yang berkongsi pengalaman dalam menjayakan program berkenaan.
Yuneswaran berharap kisah perjuangan Pasukan F terus dihayati rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, agar pengorbanan anggota yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan negara tidak dilupakan.
Beliau menegaskan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini turut dibina hasil pengorbanan insan yang berjuang tanpa mengharapkan sanjungan atau pengiktirafan.




