BERITA NASIONAL

Industri budaya dan kreatif sumbang 6.8 peratus KDNK, jana RM63 bilion eksport

JAKARTA: Industri budaya dan kreatif Malaysia menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjana RM63 bilion dalam eksport serta menyokong lebih 760,000 pekerjaan pada 2024.

Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, ekonomi kreatif kini menjadi antara sumber pertumbuhan baharu negara dan perlu diperkukuh melalui pemilikan harta intelek, pembangunan bakat serta pengkomersialan hasil karya tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan Malaysia mengenai hala tuju ekonomi kreatif pada Mesyuarat Menteri sempena Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif Ke-5 (WCCE 2026).

“Ekonomi kreatif adalah antara sumber pertumbuhan baharu negara, bukan sekadar sektor sampingan.

“Kita mahu bergerak daripada sekadar menghasilkan kandungan kepada memiliki dan mengkomersialkan harta intelek sendiri, sambil memperkukuh bakat, pembiayaan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab,” kata Fahmi.

Menurut Fahmi, Malaysia turut mencadangkan kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam penerbitan bersama, pertukaran bakat kreatif serta perkongsian data industri bagi memperluas peluang dan memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif.

Katanya, Malaysia juga berbesar hati menyertai konsensus menerima Jakarta Vision on Creative Economy sebagai dokumen hasil WCCE 2026, sekali gus menjadi landasan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam sektor berkenaan.

“Kita mahu bakat kreatif bukan sekadar menghasilkan karya, tetapi memiliki nilainya, membina kerjaya daripadanya dan membawa cerita kita lebih jauh ke dunia,” jelas Fahmi.

Beliau berkata, usaha memperkukuh pemilikan harta intelek dan membuka lebih banyak peluang pengkomersialan penting bagi memastikan penggiat kreatif tempatan bukan sahaja mampu menghasilkan kandungan berkualiti, malah menikmati nilai ekonomi daripada hasil karya mereka.

Related Articles

Back to top button