BERITA NASIONAL

Yuneswaran gesa hentikan sentimen perkauman, diskriminasi

KUALA LUMPUR: Semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh media sosial, diseru agar tidak mengeksploitasi isu kaum dan agama sehingga mencetuskan kebencian serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, berkata kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan keistimewaan Malaysia yang perlu dipelihara daripada ancaman prasangka, diskriminasi dan sentimen perkauman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Antidiskriminasi Ke-13 anjuran Pusat KOMAS yang menghimpunkan wakil pelbagai agensi kerajaan, diplomat, pertubuhan masyarakat sivil dan pelajar.

Menurut Yuneswaran, perpaduan tidak seharusnya diukur sekadar berdasarkan kemampuan masyarakat hidup bersama, sebaliknya perlu dizahirkan melalui sikap saling menghormati, memahami perbezaan serta memberikan peluang yang adil kepada semua rakyat.

“Perpaduan bukan sekadar hidup bersama dalam sebuah negara, tetapi tentang bagaimana kita saling menghormati, memahami dan memberikan peluang yang adil kepada semua tanpa mengira latar belakang.

“Kita juga perlu menangani jurang sosioekonomi dan memastikan tiada rakyat yang dipinggirkan akibat diskriminasi,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan, budaya dan kepercayaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merenggangkan hubungan masyarakat, sebaliknya perlu diurus dengan sikap terbuka dan saling menghormati.

Dalam masa sama, Yuneswaran menegaskan kepentingan peranan semua pihak dalam membendung penyebaran sentimen perkauman dan keagamaan, khususnya menerusi platform media sosial yang boleh mempengaruhi persepsi masyarakat.

“Kita boleh berbeza pandangan, budaya dan kepercayaan, tetapi jangan sampai perbezaan itu merosakkan hubungan sesama kita.

“Saya menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan isu kaum dan agama sebagai bahan untuk mencetuskan kebencian atau meraih kepentingan tertentu,” ujarnya.

Persidangan itu turut dihadiri Pengarah Pusat KOMAS, Jerald Joseph; Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Nikolas Myint; Penasihat Antidiskriminasi Kaum bagi Asia dan Pasifik, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Hanae Hanzawa; serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Melissa Akhir.

Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata komitmen terhadap prinsip Rukun Negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian dan keadilan sosial dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memelihara perpaduan bukan hanya terletak pada bahu kerajaan, malah memerlukan komitmen bersama setiap anggota masyarakat.

“Malaysia ini rumah kita bersama. Jangan biarkan perbezaan memisahkan kita, sebaliknya jadikan kepelbagaian sebagai kekuatan untuk membina masa depan yang lebih baik buat semua,” kata Yuneswaran.

Related Articles

Back to top button