BERITA NASIONAL

Colours of India himpun 250 gerai, usahawan India raih peluang

JOHOR BAHRU: Penganjuran Southeast Asia Deepavali Festival dan Trade Expo – Colours of India bukan sahaja memeriahkan sambutan Deepavali, malah membuka peluang kepada usahawan, khususnya peniaga kecil, untuk memperluas pasaran dan mengembangkan perniagaan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutupan festival yang berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober lalu di Sutera Mall, di sini.

Festival berkenaan menghimpunkan lebih 250 gerai yang menawarkan pelbagai produk, juadah serta persembahan kebudayaan bagi meraikan kepelbagaian warisan masyarakat India.

Menurut Yuneswaran, program seperti itu menyediakan platform penting kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk, membina rangkaian perniagaan dan meneroka peluang pasaran yang lebih luas.

“Bagi saya, program ini bukan sekadar tempat membeli-belah. Ia juga membuka ruang kepada usahawan, khususnya peniaga kecil, untuk memperkenalkan produk, membina rangkaian perniagaan dan meneroka pasaran lebih luas,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Yuneswaran menjelaskan Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu turut menggariskan beberapa inisiatif bagi menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat India.

“Antaranya, kemudahan pembiayaan berjumlah RM150 juta menerusi TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu usahawan India mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Selain itu, sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dengan tumpuan kepada latihan kemahiran dan peluang pekerjaan untuk belia India dalam bidang teknologi, automasi industri serta penyelenggaraan pesawat.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta bagi kerja membaik pulih dan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik kepada murid,” jelas Yuneswaran.

Yuneswaran berharap masyarakat India, khususnya usahawan kecil dan golongan belia, dapat memanfaatkan peluang yang disediakan berdasarkan kelayakan masing-masing untuk meningkatkan pendapatan serta membina masa depan lebih baik.

“Kita mahu lebih ramai mampu berdikari, meningkatkan pendapatan dan membina masa depan yang lebih baik. Peluang yang disediakan ini wajar dimanfaatkan bagi membantu masyarakat mengembangkan potensi ekonomi dan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menjayakan Colours of India, sambil berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memperkukuh ekonomi masyarakat, memelihara warisan budaya dan mengeratkan hubungan antara kaum.

Related Articles

Back to top button