BERITA NASIONAL

Yuneswaran ingatkan pempengaruh jangan eksploitasi isu 3R

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial diminta lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan dan mengelak daripada mengeksploitasi isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya berkaitan ritual keagamaan, demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, individu yang mempunyai pengaruh serta jumlah pengikut yang ramai perlu menggunakan platform masing-masing untuk menyebarkan mesej positif, bukannya mencetuskan sensitiviti masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, ketika mengulas isu tular membabitkan seorang pempengaruh yang dipercayai menyertai upacara keagamaan ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.

“Kalau boleh, jauhkan perkara-perkara yang melibatkan 3R. Ini kerana pempengaruh mungkin tidak tahu tentang ritual agama atau adat kaum tertentu, lebih-lebih lagi kalau anda bukan penganut agama berkenaan,” jelasnya.

Menurut Yuneswaran, terdapat banyak perkara positif yang boleh diketengahkan oleh pempengaruh menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), termasuk usaha memperkukuh persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa isu berkaitan ritual keagamaan perlu ditangani secara berhemah, manakala siasatan berhubung perkara itu wajar diserahkan kepada pihak berkuasa agama dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat, mengingatkan masyarakat supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan atau menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik sebelum siasatan selesai.

Dalam masa sama, beliau mengajak pempengaruh media sosial untuk bekerjasama dengan KPN dalam menyebarkan kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Program Negara Bangsa.

“Kita mempunyai banyak perkara positif yang boleh dipromosikan bersama Kementerian Perpaduan Negara. Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, kita boleh menghadiri pelbagai upacara, majlis dan sambutan, namun apabila melibatkan ritual, saya berharap perkara itu dihormati,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 11 Okt mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung hantaran tular membabitkan seorang individu yang dipercayai beragama Islam dan didakwa menyertai ritual agama lain yang dikatakan bertentangan dengan hukum syarak.

Related Articles

Back to top button