BERITA NASIONAL

JKP PKKP bincang pindaan RUU, Jualan Rahmah dan perundangan e-Dagang di Sabah

PAPAR: Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian (JKP PKKP) mengadakan sesi perbincangan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, sempena lawatan kerja jawatankuasa itu ke Sabah.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, sesi berkenaan yang berlangsung dalam suasana santai di Papar turut membincangkan beberapa perkara serius berkaitan bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut beliau, pertemuan bersama Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar itu merupakan sebahagian daripada agenda lawatan kerja JKP PKKP ke Sabah.

“Bila sudah tiba di Kota Kinabalu, Sabah, sudah semestinya mengunjungi YB Menteri KPDN yang amat rapat dengan kami.

“Selama ini, beliau telah memberikan kerjasama yang baik kepada kami di JKP PKKP,” kata Cha menerusi satu hantaran di media sosial.

Cha berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) yang bakal dilaksanakan, selain peruntukan tahunan dan pemilihan operator bagi Program Jualan Rahmah MADANI.

Katanya, perbincangan turut menyentuh fungsi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta syarikat yang terlibat dalam kutipan bayaran royalti.

“Perundangan untuk e-Dagang demi melindungi kepentingan para pengguna turut menjadi antara perkara yang kami bincangkan,” ujar Cha.

Beliau berkata, walaupun pertemuan berlangsung dalam suasana santai sambil menikmati pemandangan pantai yang tenang pada petang Ahad, perbincangan yang dijalankan tetap memberi tumpuan kepada isu-isu penting berkaitan kepentingan pengguna dan sektor perdagangan dalam negeri.

Cha turut merakamkan penghargaan kepada Armizan atas layanan serta hidangan makanan istimewa tempatan yang disediakan sepanjang pertemuan berkenaan.

Related Articles

Back to top button