BERITA NASIONAL

Yuneswaran ziarah Editor Kanan Makkal Osai, hulur bantuan

SELAYANG: Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj menziarahi Editor Kanan akhbar Makkal Osai, Rajan Bupalan, yang sedang menerima rawatan di Hospital Selayang selepas mengalami pendarahan otak.

Rajan, 68, merupakan wartawan berpengalaman yang telah berkhidmat dalam bidang media selama lebih 50 tahun.

Yuneswaran berkata, beliau mengambil kesempatan di sebalik kesibukan menjalankan tugas rasmi untuk menziarahi wartawan veteran berkenaan serta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan kesihatannya.

“Walaupun terikat dengan pelbagai program dan urusan rasmi, saya tetap mencari ruang untuk menziarahi Encik Rajan Bupalan, editor kanan akhbar Makkal Osai yang kini menerima rawatan di Hospital Selayang.” kata Yuneswaran.

Pada 8 September lalu, Rajan dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya sehingga mengalami pendarahan otak dan menerima rawatan rapi hampir sebulan.

Yuneswaran menziarahi Rajan Bupalan di Hospital Selayang

Yuneswaran turut menyampaikan bantuan kewangan dan bakul buah kepada keluarga Rajan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan kepada mereka yang sedang melalui ujian berkenaan.

Dalam kunjungan sama, beliau turut menziarahi ibu kepada wartawan portal Dinathanthi, Kalidas Subramaniam, yang turut menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Melihat insan yang sedang berjuang melawan kesakitan sememangnya menyentuh hati.

“Saya mendoakan agar kedua-duanya diberikan kekuatan, dipermudahkan proses rawatan dan segera sembuh untuk kembali ke pangkuan keluarga,” ujar beliau.

Yuneswaran berharap kedua-dua pesakit berkenaan diberikan kesembuhan dan kekuatan sepanjang menjalani rawatan, selain keluarga mereka terus tabah menghadapi situasi itu.

Yuneswaran turut menziarahi ibu kepada wartawan portal Dinathanthi, Kalidas Subramaniam

Related Articles

Back to top button