BERITA NASIONAL

Bendung ulat tiket, pembelian tiket konsert guna ID dicadang

KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan penggunaan pengenalan diri atau ID ketika membeli tiket konsert mendapat maklum balas positif daripada golongan muda, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dato’ Dr. Fuziah Salleh.

Beliau berkata, cadangan itu antara langkah yang sedang diteliti bagi membendung kegiatan ulat tiket yang membeli tiket secara pukal untuk dijual semula pada harga jauh lebih tinggi.

Menurutnya, ramai peminat berdepan kekecewaan apabila tiket konsert artis kesayangan habis dijual dalam tempoh singkat, sebelum ditawarkan semula pada harga berlipat kali ganda.

“Saya faham, mereka mahu peluang membeli tiket tanpa perlu berebut dengan pihak yang memborong untuk mengaut keuntungan.

“Bayangkan sudah lama menunggu konsert artis kesayangan, tetapi tiket habis dalam masa singkat.

“Kemudian tiket yang sama ditawarkan semula pada harga berlipat kali ganda. Sudah tentu mengecewakan peminat,” jelas Fuziah.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan usaha kerajaan menggubal peraturan bagi menangani kegiatan ulat tiket di Dewan Rakyat.

Fuziah berkata, proses penggubalan peraturan berkenaan sudah bermula dan dijangka mengambil masa sekitar enam bulan.

Katanya, penggubalan itu bersandarkan punca kuasa di bawah Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, yang membolehkan peraturan berkaitan diwujudkan.

Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah penggunaan ID ketika pembelian tiket bagi menghalang pembelian secara pukal untuk tujuan penjualan semula pada harga tinggi.

Beliau berkata, sambutan positif orang ramai terhadap cadangan itu memberikan dorongan kepada usaha kerajaan untuk memastikan peminat mempunyai peluang yang lebih adil mendapatkan tiket konsert dan acara pilihan mereka.

“Kita mahu peminat dapat menikmati konsert dan acara pilihan mereka dengan peluang membeli tiket yang lebih adil.

“Wang yang disimpan untuk melihat persembahan artis kesayangan jangan akhirnya menjadi keuntungan berlebihan kepada ulat tiket,” ujar Fuziah.

Related Articles

Back to top button