Yuneswaran hiba pertemuan terakhir, kebajikan keluarga Allahyarhamah tetap dibela

SEGAMAT: Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, meluahkan rasa sedih selepas menerima berita pemergian seorang warga emas, Puteh Ibrahim, yang diziarahinya minggu lalu di kediaman wanita itu di Kampung Tanjung Sengkawang, di sini.
Pertemuan itu menjadi kenangan terakhir buat Yuneswaran bersama Allahyarhamah yang hampir dua tahun terlantar akibat serangan strok.
Yuneswaran berkata keadaan Allahyarhamah ketika diziarahi benar-benar menyentuh hatinya, selain berkesempatan mendengar sendiri kesukaran yang dihadapi ahli keluarga dalam menjaganya.
“Melihat keadaannya ketika itu benar-benar menyentuh hati saya.
“Sempat juga saya berbual dengan ahli keluarga beliau, mendengar sendiri kesukaran dan cabaran yang mereka lalui sepanjang menjaganya,” kata Yuneswaran.
Menurut beliau, beberapa usaha telah dilakukan bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan, termasuk mengusahakan bantuan keperluan harian seperti lampin pakai buang dan susu nutrisi.

Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara turut meminta pegawainya membuat susulan terhadap permohonan bantuan yang dikemukakan keluarga itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun, beliau menerima khabar duka mengenai pemergian Allahyarhamah di Hospital Segamat pada minggu lalu.
“Sedih rasanya mengenangkan pertemuan kami minggu lalu.
“Ada perkara yang masih ingin saya usahakan untuk membantu beliau, tetapi Tuhan lebih mengetahui segala-galanya,” kata beliau.
Yuneswaran berkata, beliau turut mewakilkan Pegawai Khasnya, Puan Zetty, untuk menziarahi keluarga Allahyarhamah dan menyampaikan salam takziah bagi pihaknya.

Beliau menegaskan bahawa pemergian Allahyarhamah tidak bermakna usaha membantu kebajikan keluarganya akan terhenti begitu sahaja.
Menurutnya, Puan Zetty akan membantu membuat susulan dengan JKM bagi menyemak kelayakan bantuan warga emas untuk kedua-dua anak Allahyarhamah yang juga sudah berusia.
“Saya tahu kehilangan seorang ibu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi setelah sekian lama bersama menjaga beliau dalam keadaan uzur.
“Walaupun Allahyarhamah sudah tiada, saya tidak mahu kebajikan keluarganya terhenti begitu sahaja,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Salam takziah yang penuh ikhlas buat seluruh keluarga Allahyarhamah Puan Puteh Ibrahim.
“Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga untuk menghadapi kehilangan insan tersayang ini,” ujar Yuneswaran.



