BERITA NASIONAL

RM136.2 juta peruntukan pendidikan Selangor tertinggi dalam sejarah negeri – Amirudin

BESTARI JAYA: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan lebih RM136.2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi memperkasa sektor pendidikan dan pembangunan modal insan, sekali gus menjadi peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan keyakinan kerajaan negeri bahawa kekayaan terbesar Selangor terletak pada rakyatnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) Kali Ke-20 di Bestari Jaya.

“Konvokesyen ke-20 menandai kematangan UNISEL sebagai universiti milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.

“UNISEL bukan sekadar tempat menimba ilmu dan memperoleh ijazah, tetapi aset strategik negeri dalam melahirkan bakat, memperkukuh penyelidikan serta menawarkan penyelesaian kepada cabaran masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Menurut Amirudin, daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM17.378 juta disediakan bagi menanggung 50 peratus yuran pengajian lebih 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL dan Universiti Islam Selangor.

Katanya, kerajaan negeri turut memperkenalkan Biasiswa Pendidikan Kita Selangor berjumlah RM17 juta bagi melahirkan kepakaran dalam bidang strategik.

“Bidang yang diberi tumpuan termasuk kecerdasan buatan, kejuruteraan, automasi, elektrik dan elektronik serta sains hayat,” jelas Amirudin.

Dalam pada itu, Amirudin turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan UNISEL yang diraikan pada istiadat berkenaan.

Beliau berkata, kejayaan setiap graduan bukan hanya hasil usaha individu, sebaliknya turut didukung oleh pengorbanan ibu bapa dan keluarga, bimbingan pensyarah serta sokongan seluruh warga universiti.

“Gunakanlah ilmu untuk membuka jalan bukan sahaja bagi diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga, masyarakat, negeri dan negara,” ujar beliau.

Beliau turut mendoakan agar para graduan dipermudahkan segala urusan, dikurniakan rezeki yang baik serta diberikan kekuatan untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Semoga segala urusan dipermudah, dikurniakan rezeki yang baik dan diberi kekuatan untuk terus menyumbang. Tahniah dan selamat maju jaya kepada seluruh graduan UNISEL,” kata Amirudin lagi.

Related Articles

Back to top button